Renungan kita Bersama

"Dan Kehidupan
dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau. sedangkan akhirat itu, sungguh
lebih baik bagi orang - orang yang bertakwa. tidakkah kamu
mengerti?"


Monday, May 17, 2010

Jagalah 'Raja'mu sebaiknya

"Hati itu ibarat Raja. Segala perintah yang diarahkannya harus dilaksana oleh anggota tubuh si manusia. Andai ia tidak dijaga, rosaklah ia dan binasalah si manusia"

 

"Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Dan dagingnya yang dimaksudkan ini adalah hati."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tiap dari kita sememangnya menginginkan hati yang bersih dan suci. Hal ini kerana hasil dari hati yang bersih dan suci pastinya akan menghasilkan sifat tuannya yang terpuji, bebas dari sifat keji lagi tercela. Hati yang bersih dan baik  ini akan memberi arahan kepada tuannya agar sentiasa berbuat kebaikan dan meninggalkan segala keburukan. Maka, beruntunglah bagi sesiapa yang berjaya memiliki hati yang berunsur baik kerana dia bukan sahaja akan menjadi orang yang taat dan beriman, malah mempunyai akhlak yang mulia dan terpuji. Tetapi agak malang jika hati yang berunsur jahat menguasai diri seseorang kerana ianya hanya akan mengakibatkan seseorang itu menjadi kufur dan derhaka kepada Allah serta memepunyai akhlak yang keji.

Kenali Jenis - jenis hati

 


Qalbun Sahih - Hati Suci. Hati jenis ini adalah hati yang bersih, sihat dan bebas daripada segala gangguan yang boleh menyebabkan pemiliknya menentang perintah dan larangan Allah s.w.t. Orang yang memiliki hati suci ini akan terselamat daripada mengambil hukum yang betentangan dengan ketentuan Allah dan Rasul. Sekiranya mereka membenci, maka benci itu hanya kerana Allah. Begitu juga dengan mencintai. Cinta itu hanya kerana Allah. Jika kita hendak tergolong dalam jenis hati suci ini, kita perlulah menjadikan Rasullullah sebagai teladan dalam hidup kita. Segala apa yang kita lakukan dalam urusan seharian kita adalah berpandukan kepada sunnah Rasullullah kerana baginda mempunyai akhlak yang paling mulia. Antara kelebihan yang akan diperoleh oleh orang yang berhati suci ini ialah Allah akan mengurniakan petunjuk hidayah kepadanya. ia juga akan mendapat pimpinan dan bimbingan daripada Allah sehingga ia mendapat kemudahan dalam melakukan amal ibadat. Bersifat takut kepada Allah akan menjadikan seseorang itu sentiasa mentaati Allah dan akan mendapat rahmat daripada-Nya.


Qalbun Mayyit - Hati yang mati. Orang yang memiliki hati yang sebegini tidak akan mengenal penciptanya. Mereka tidak mahu menyembah Allah serta tidak akan dicintai Allah. Mereka ini juga tidak akan mendapat keredaan daripada Allah serta akan terlepas daripada rahmat Allah. Ketahuilah bahawa Nafsu dan syaitan akan sentiasa bekerjasama untuk merebut tempat di hati manusia. Jika hati sudah dikuasai, sudah ditawan dan ditakluki maka manusia tidak lagi ikut perintah Allah dan Rasul-Nya tetapi akan mengikut apa sahaja kehendak nafsu dan syaitan. Dari itu, akan timbullah perbagai penyakit hati yang akhirnya akan menjauhkan golongan ini daripada Allah. Mereka ini hanya bertindak memikirkan kebahagiaan di dunia sahaja dan tidak sedar bahawa satu hari nanti mereka tidak terlepas dari dikembalikan kepada Sang Pencipta. Tandanya mudah sahaja. Golongan ini apabila diberikan nasihat, telinganya akan ditutup serta tidak mahu menghadiri majlis ilmu. Jadi? Adakah kita turut tergolong dalam kategori mereka yang memiliki hati jenis ini? Nauzubillah...minta dijauhkan sama sekali.


Qalbun Maridh - Hati Sakit. Golongan yang mempunyai hati jenis ini masih mempunyai kehidupan tetapi hatinya sudah tersimpan benih- benih penyakit hati. Kadangkala mereka ini akan hidup sihat, tetapi ada ketikanya mereka lebih mengutamakan dunia, cintakan dunia, ikut nafsu, tamak, dengki, takabbur, ujub dan riyak. Orang yang memiliki hati sebegini mempunyai pengaruh untuk mengikuti bisikan yang paling kuat. Jika dunia yang paling kuat, maka dia akan cenderung ke situ dan jika akhirat lebih diberatkannya maka ke sanalah dia turutinya. Walaubagaimanapun, golongan ini masih boleh dirawat dan diubati. Ini kerana hati mereka berada di peringkat pertengahan diantara suci dan hati yang mati. Jika hati mereka ini tidak dirawat dengan cepat, ianya akan membawa kepada matinya hati dan susah untuk dihidupkan kembali. 

Saidina Ali berpesan :
'Hati seorang mukimn itu bersih, terdapat padanya pelita yang bercahaya. Manakala, hati seorang kaffir itu hitam serta berpenyakit'.

Ingatlah kita bahawa hati yang berjaya diubati perlu disuburkan lagi dengan sifat-sifat mahmudah seperti sentiasa bertaubat, takut kepada Allah, zuhud, sabar, sentiasa bersyukur dengan nikmat dan pemberian-Nya, ikhlas, tawakal, berkasih sayang kerana-Nya, reda dan saling ingat mengingati antara satu sama lain. Teringat akan seni lirik sebuah nasyid yang menyuruh manusia menjaga hati yang diberi.

Jagalah hati jangan kau kotori
Jagalah hati lentera hidup ini
Jagalah hati jangan kau nodai
Jagalah hati cahaya illahi

Bila hati kian bersih, pikiran pun kian jernih
Semangat hidup kan gigih, prestasi mudah diraih
Namun bila hati busuk, pikiran jahat merasuk
Ahlak kian terpuruk, jadi mahluk terkutuk

Bila hati kian suci, tak ada yang tersakiti
Pribadi menawan hati, ciri mukmin sejati
Namun bila hati keruh, batin selalu gemuruh
Seakan dikejar musuh, dengan Allah kian jauh

Bila hati kian lapang, hidup sempit tetap senang
Walau kesulitan datang, dihadapi dengan tenang
Tapi bila hati sempit, segalanya makin rumit
Seakan hidup terhimpit, lahir batin terasa sakit

No comments:

Post a Comment