Renungan kita Bersama

"Dan Kehidupan
dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau. sedangkan akhirat itu, sungguh
lebih baik bagi orang - orang yang bertakwa. tidakkah kamu
mengerti?"


Friday, July 9, 2010

Peliharalah Dirimu Aduhai Wanita


Sudah difitrahkan setiap dari kita pastinya menggemarkan sesuatu yang indah dan cantik pada pandangan mata, baik lelaki atau perempuan. Begitu juga dalam berpenampilan. Lelaki mahupun wanita sentiasa menginginkan diri sentiasa kelihatan cantik, kemas dan bergaya mengikut peredaran masa. Namun, kuasa tarikan itu lebih banyak datangnya daripada wanita berbanding lelaki. Sememangnya kejadian wanita itu sendiri cukup cantik, indah dan istimewa iaitu dengan susuk tubuh yang unik dan menarik dan susunan organ dan tulang yang letaknya sesuai dengan tugas sebagai seorang ibu untuk melahirkan anak, ditambah pula dengan iras wajah yang ayu, gerak laku yang sopan serta pelbagai lagi extraordinary yang boleh menyebabkan kaum Adam tertarik kepadanya. Bagi menjamin fitrah ini sentiasa terpelihara daripada unsur-unsur maksiat, maka aspek pencegahan sangat ditekan dalam Islam iaitu dari segi pakaian. Pakaianlah yang melindungi pandangan lelaki dari melihat tubuh wanita dan sebaliknya. Antara punca mengapa isu pakaian ini dititikberatkan adalah untuk menjaga nafsu syahwat manusia dari bermaharajalela sehingga mengundangnya perkara yang tidak diingini seperti zina, rogol dan sebagainya.

Bilamana menjejakkan kaki ke alam universiti, tidak bermakna mahasiswa itu bebas melakukan apa saja termasuk berpakaian. Baik mahasiswa mahupun mahasiswi, pihak universiti khususnya UTM sendiri telah menetapkan beberapa etika dan tatacara berpakaian khususnya untuk memastikan kemaslahatan dan gelaran sebagai mahasiswa itu tidak tercemar dengan perkara yang tidak sepatutunya dan mengikut apa yang telah syariat tetapkan khususnya kepada mahasiswa yang beragama Islam. Secara amnya, pihak universiti telah menetapkan supaya semua Mahasiswa supaya berpakaian KEMAS, BERSIH dan SESUAI dengan amalan biasa masyarakat Malaysia. Mahasiswi pula khususnya TIDAK DIBENARKAN memakai PAKAIAN YANG KETAT dan MEMPAMERKAN SUSUK TUBUH, MENDEDAHKAN SEBAHAGIAN TUBUH BADAN dan MENJOLOK MATA seperti :
a) Berskirt di atas paras lutut atau berseluar pendek
b) Berbaju tanpa lengan
c) Berseluar/berskirt ketat
Mahasiswi semua perlu ingat, semua peraturan ini bukanlah sengaja diada-adakan untuk kepentingan mana-mana pihak. Dalam Islam sendiri telah menggariskan beberapa perkara khususnya yang menyentuh aspek-aspek berpakaian dan berhias buat wanita yang telah diguna pakai oleh pihak universiti, iaitu :
1. Hendaklah menutup kawasan aurat.
2. Tidak jarang atau nipis yang menampakkan kulit badan
3. Tidak ketat atau sendat hingga menampakkan bentuk tubuh
4. Tidak menyerupai pakaian lelaki
5. Tidak menyerupai pakaian orang kafir atau golongan fasiq
6. Tidak berlebihan dan menzahirkan kesombongan
7. Bukan pakaian syuhrah (iaitu pakaian yang dipakai untuk dikenali oleh orang lain, yakni untuk menunjulkan perbezaan diri dengan orang lain)
8. Tidak mempunyai hiasan atau corak yang menarik pandangan lelaki.

Kita selaku mahasiswa yang diberi akal yang sempurna seharusnya bijak dalam memilih apa yang sepatutnya dan apa yang terbaik buat kita supaya kita tidak sekali-kali menyesal dikemudian hari. Benar, selangkah kita menuju ke alam mahasiswa bermakna banyak perkara termasuk sikap, perilaku dan sebagainya harus kita ubah dan perbaiki. Dari bersikap pentingkan diri berubah ke sikap ambil tahu, dari bersikap kebudak-budakan berubah kepada lebih matang, dari bersikap manja berubah kepada berdikari dan banyak lagi transformasi yang sememangnya diperlukan untuk memastikan status mahasiswa itu benar-benar layak buat kita. Dalam hal ini perlukah penampilan juga perlu diubah? Jawapannya ubahlah selagimana ianya dirasakan perlu dan tidak bercanggah seperti apa yang telah Allah tetapkan. Adapun fesyen pakaian, tidak ada fesyen tertentu yang ditetapkan Islam bagi pakaian. Ia terserah kepada mahasiswa semua untuk menentukannya mengikut pengalaman dan kebiasaan masing-masing kerana hal ini termasuk dalam perkara-perkara duniawi yang diberi kebebasan kepada manusia untuk menentukannya.

Ingatlah, wanita itu hanya sekadar perhiasan di dunia, dan seindah hiasan itu adalah wanita solehah. Wanita solehah itu bukan hanya pandai menjaga dirinya malah maruah dan peribadinya juga tidak kira dimana jua berada. Moga-moga perjalanan anda semua yang baru bergelar mahasiswa dipermudahkan dan beroleh kejayaan yang hakiki pada akhirnya nanti.

No comments:

Post a Comment