Renungan kita Bersama

"Dan Kehidupan
dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau. sedangkan akhirat itu, sungguh
lebih baik bagi orang - orang yang bertakwa. tidakkah kamu
mengerti?"


Wednesday, July 14, 2010

Motivasi Buat Diri

Jika hari ini kita katakan ujian yang kita terima adalah besar, rupanya ada orang lain yang diuji lebih besar dari kita
Jika hari ini kita katakan kita tak berupaya, rupanya ada orang lain yang lebih tak upaya dari kita
Jika hari ini kita katakan kita susah, rupanya ada orang lain yang jauh lebih susah dari kita..

Kesenangan yang datang
Tak akan selamanya
Begitulah selepas susah ada kesenangan
Seperti selepas malam datangnya siang
Oleh itu waktu senang jangan lupa daratan

Gunakan kesempatan untuk kebaikan
Sebelum segalanya terlepas dari genggaman
Kelak menyesal nanti tak berkesudahan
Apa guna sesalan hanya menekan jiwa

Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada tuhan
Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali

Ujian adalah tarbiyah dari Allah
Apakah kita kan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
Semuanya adalah
nikmat dari tuhan

-inteam ft nazrey(kehidupan)-
**manfaatkanlah tiap apa yang telah Allah kurniakan pada kita. letakkan yang sepatutnya untuk perkara yang sepatutnya supaya kita tidak bertindak zalim pada apa yang telah Allah kurniakan buat kita. Jika hari ini kita terleka dan teralfa, masih ada ruang untuk kita menyesali dan melakukan apa yang sebaiknya..jika tidak upaya gunakan anggota tubuh untuk sedikit sumbangan pada jalan-Nya, gunakanlah apa sahaja yang ada asalkan ada sumbangan yang diberikan...

Friday, July 9, 2010

Peliharalah Dirimu Aduhai Wanita


Sudah difitrahkan setiap dari kita pastinya menggemarkan sesuatu yang indah dan cantik pada pandangan mata, baik lelaki atau perempuan. Begitu juga dalam berpenampilan. Lelaki mahupun wanita sentiasa menginginkan diri sentiasa kelihatan cantik, kemas dan bergaya mengikut peredaran masa. Namun, kuasa tarikan itu lebih banyak datangnya daripada wanita berbanding lelaki. Sememangnya kejadian wanita itu sendiri cukup cantik, indah dan istimewa iaitu dengan susuk tubuh yang unik dan menarik dan susunan organ dan tulang yang letaknya sesuai dengan tugas sebagai seorang ibu untuk melahirkan anak, ditambah pula dengan iras wajah yang ayu, gerak laku yang sopan serta pelbagai lagi extraordinary yang boleh menyebabkan kaum Adam tertarik kepadanya. Bagi menjamin fitrah ini sentiasa terpelihara daripada unsur-unsur maksiat, maka aspek pencegahan sangat ditekan dalam Islam iaitu dari segi pakaian. Pakaianlah yang melindungi pandangan lelaki dari melihat tubuh wanita dan sebaliknya. Antara punca mengapa isu pakaian ini dititikberatkan adalah untuk menjaga nafsu syahwat manusia dari bermaharajalela sehingga mengundangnya perkara yang tidak diingini seperti zina, rogol dan sebagainya.

Bilamana menjejakkan kaki ke alam universiti, tidak bermakna mahasiswa itu bebas melakukan apa saja termasuk berpakaian. Baik mahasiswa mahupun mahasiswi, pihak universiti khususnya UTM sendiri telah menetapkan beberapa etika dan tatacara berpakaian khususnya untuk memastikan kemaslahatan dan gelaran sebagai mahasiswa itu tidak tercemar dengan perkara yang tidak sepatutunya dan mengikut apa yang telah syariat tetapkan khususnya kepada mahasiswa yang beragama Islam. Secara amnya, pihak universiti telah menetapkan supaya semua Mahasiswa supaya berpakaian KEMAS, BERSIH dan SESUAI dengan amalan biasa masyarakat Malaysia. Mahasiswi pula khususnya TIDAK DIBENARKAN memakai PAKAIAN YANG KETAT dan MEMPAMERKAN SUSUK TUBUH, MENDEDAHKAN SEBAHAGIAN TUBUH BADAN dan MENJOLOK MATA seperti :
a) Berskirt di atas paras lutut atau berseluar pendek
b) Berbaju tanpa lengan
c) Berseluar/berskirt ketat
Mahasiswi semua perlu ingat, semua peraturan ini bukanlah sengaja diada-adakan untuk kepentingan mana-mana pihak. Dalam Islam sendiri telah menggariskan beberapa perkara khususnya yang menyentuh aspek-aspek berpakaian dan berhias buat wanita yang telah diguna pakai oleh pihak universiti, iaitu :
1. Hendaklah menutup kawasan aurat.
2. Tidak jarang atau nipis yang menampakkan kulit badan
3. Tidak ketat atau sendat hingga menampakkan bentuk tubuh
4. Tidak menyerupai pakaian lelaki
5. Tidak menyerupai pakaian orang kafir atau golongan fasiq
6. Tidak berlebihan dan menzahirkan kesombongan
7. Bukan pakaian syuhrah (iaitu pakaian yang dipakai untuk dikenali oleh orang lain, yakni untuk menunjulkan perbezaan diri dengan orang lain)
8. Tidak mempunyai hiasan atau corak yang menarik pandangan lelaki.

Kita selaku mahasiswa yang diberi akal yang sempurna seharusnya bijak dalam memilih apa yang sepatutnya dan apa yang terbaik buat kita supaya kita tidak sekali-kali menyesal dikemudian hari. Benar, selangkah kita menuju ke alam mahasiswa bermakna banyak perkara termasuk sikap, perilaku dan sebagainya harus kita ubah dan perbaiki. Dari bersikap pentingkan diri berubah ke sikap ambil tahu, dari bersikap kebudak-budakan berubah kepada lebih matang, dari bersikap manja berubah kepada berdikari dan banyak lagi transformasi yang sememangnya diperlukan untuk memastikan status mahasiswa itu benar-benar layak buat kita. Dalam hal ini perlukah penampilan juga perlu diubah? Jawapannya ubahlah selagimana ianya dirasakan perlu dan tidak bercanggah seperti apa yang telah Allah tetapkan. Adapun fesyen pakaian, tidak ada fesyen tertentu yang ditetapkan Islam bagi pakaian. Ia terserah kepada mahasiswa semua untuk menentukannya mengikut pengalaman dan kebiasaan masing-masing kerana hal ini termasuk dalam perkara-perkara duniawi yang diberi kebebasan kepada manusia untuk menentukannya.

Ingatlah, wanita itu hanya sekadar perhiasan di dunia, dan seindah hiasan itu adalah wanita solehah. Wanita solehah itu bukan hanya pandai menjaga dirinya malah maruah dan peribadinya juga tidak kira dimana jua berada. Moga-moga perjalanan anda semua yang baru bergelar mahasiswa dipermudahkan dan beroleh kejayaan yang hakiki pada akhirnya nanti.

Sunday, July 4, 2010

Selamat Datang & Selamat berjuang buat Mahasiswa baru

Pimpinan PMIUTM (muslimat) tidak ketinggalan mengucapkan selamat datang dan selamat bergelar mahasiswa UTM

Welcome New Student ~dari pimpinan dan ahli PMIUTM

Together we love PMIUTM

Cenderahati istimewa dari PMIUTM buat mahasiswa baru

Sesi ramah mesra pimpinan PMIUTM bersama ibu bapa yang menghantar anak-anak   


Senyuman puas jelas terpamer pada tiap wajah adik-adik yang baru berdaftar sebagai mahasiswa UTM. Tidak ketinggalan, ibu bapanya juga tidak lekang dari tersenyum puas kerana anak-anak yang dijaga dan ditatangnya selama ini telah berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading. Diharapkan, peluang yang telah Allah berikan buat adik-adik yang terpilih ini dimanfaatkan dan dipergunakan sebaiknya untuk menggarap seberapa banyak ilmu,pengetahuan,kemahiran dan sebagainya untuk diperguna dan dipraktikkan dalam hidup khususnya dan amnya pada masyarakat suatu masa nanti. 'Title' mahasiswa ini hanya dipinjamkan seketika dari masyarakat buat kita dan satu masa nanti kita semua yang bergelar mahasiswa pasti kembali bersama masyarakat luar lain yang mana sememangnya corak serta situasi hidupnya jauh lebih berbeza dari  alam kampus dan mahasiswa.

Realiti hari ini, mahasiswa haruslah dididik untuk menghayati konsep ilmu dengan sempurna. Mahasiswa haruslah berlumba-lumba dalam mencari ilmu hingga ke tahap yang cemerlang malah mampu menjadikan ilmu itu sebagai panduan dan pedoman hidup mereka sendiri. Sebagai para ilmuan, mahasiswa harus mampu mencerminkan suasana sahsiah ilmuan yang sebenar sejajar dengan tuntutan syarak. Ilmu dan pengetahuan yang dimiliki sepatutnya telah meletakkan seseorang mahasiswa itu bijak dalam berfikir untuk mencatur halatuju serta matlamat hidupnya untuk masa akan datang. Namun, adakah semua itu berlaku pada mahasiswa kita pada hari ini?

Mahasiswa pada hari ini perlu dibentuk supaya matlamat perjuangannya dilapangan mahasiswa bukan sekadar mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik semata-mata malah kerohanian yang merangkumi moral dan etika yang harmoni juga seharusnya diterapkan setanding dengan kecemerlangan akademik yang dirangkul. Segala impuls bernas haruslah diberikan dan dicari oleh setiap mahasiswa supaya mampu mencapai kecemerlangan dalam bidang-bidang yang mereka ceburi.

Buat semua mahasiswa baru, rebutlah seberapa banyak peluang yang ada didepan mata anda. kehidupan dikampus ini sememangnya indah sekiranya tiap masa kita diisi dengan pelbagai perkara yang menarik dan bermanfaat. Persiapkanlah diri kita semua dengan pelbagai nilai tambah dan keistimewaan lain yang mampu menjadikan agama,keluarga,masyarakat malah negara bangga mempunyai mahasiswa seperti kita satu masa kelak.

Akhir kata, jadilah kamu mahasiswa yang mampu membawa idea baru, berani mengambil risiko, melihat sesuatu dengan misi serta visi yang realistik dan tidak pula terlalu idealistik dan retorik semata-mata disamping rational dalam membuat sebarang keputusan.
~Together with PMIUTM~